Hari ini, ada
seorang hamba Allah mengadu kepada saya, bahawa tunangnya mahu memutuskan
hubungan dengannya. Bila ditanya sebabnya, dia berkata bahawa tunangnya telah
beristikharah, dan di dalam istikharahnya yang muncul adalah lelaki lain.
Pertunangan mereka adalah rahsia. Lebih
memburukkan keadaan, tunangnya sebelum itu dirisik lelaki di dalam mimpi
istikharahnya itu. Membuatkan tunangnya itu confuse, dan mengajak untuk
memutuskan tali pertunangan mereka.
Izinkan saya memberikan komen yang agak keras di
dalam hal ini.
Pertamanya: Sedarlah bahawa kita ini bukanlah
Rasul atau Nabi, yang mana mimpi kita membawa makna yang mendalam dan benar
100%. Tidak. Kita bukan mereka. Maka penyakit apakah ini yang membuatkan kita
mempercayai sebuah mimpi, dari realiti yang berada di hadapan kita?
Keduanya: Islam bukan berdiri di atas mistik dan
keajaiban yang tidak berasas. Islam tidak berdiri di atas dalil serapuh mimpi.
Kerana itu, mimpi bukanlah boleh dijadikan sebagai dalil untuk apa situasi
sekalipun.
Justeru, kita tidak boleh membuat keputusan
berdasarkan mimpi semata-mata. Sedang Nabi Ibrahim pun, sebelum menyembelih
anaknya, membentangkan terlebih dahulu mimpinya kepada anaknya Ismail, dan
bertanya apakah dia patut meneruskannya. Walaupun Ibrahim adalah seorang Nabi!
Maka siapakah kita untuk memutuskan pertunangan/ hubungan hanya berdasarkan sebuah mimpi?
Mengapa tidak kita imbangi pro dan kontra. Mimpi
itu ada kemungkinan mainan tidur semata-mata. Kalau kita ini belum ada apa-apa
hubungan dengan sesiapa, tidak mengapalah. Ini sudah ada hubungan. Maka
sepatutnya kita imbangi pro dan kontra, kita fikirkan baik, buruknya. Bukan
semata-mata kata: "Dah mimpi gitu, gitulah."
Inilah yang dikatakan fitnah Istikharah!
Ketiganya: Perlu juga difahami bahawa,
istikharah itu dibuat sebelum membuat keputusan. Selepas keputusan dibuat,
istikharah adalah tidak bermakna. Hiduplah dengan keputusan yang telah diambil.
Istikharah selepas membuat keputusan hanyalah satu ruang besar untuk syaitan
menyuntikkan keraguan di dalam diri kita.
Nyata, istikharah selepas membuat keputusan itu
sendiri adalah satu bentuk keraguan!
Keempat: Adalah haram merisik atas risikan
saudara. Maka adalah haram, masuk meminang seorang yang sudah punya hubungan
dengan seorang yang lain. Oleh kerana itulah, adalah harus menghebahkan
pertunangan, agar tidak berlaku perkara-perkara sebegini. Agar tertutup
perasaan orang lain terhadap kita atau pasangan kita. Agar termati rasa ingin
'mencuba' orang lain terhadap kita dan pasangan kita.
Ini adalah pandangan saya.
Saya tegaskan di sini bahawa, istikharah
bukanlah alat sakti untuk menghalalkan segala tindakan kita.
Sebab itu Islam mendidik kita menggunakan akal
fikiran, untuk berfikir membuat pertimbangan, pro dan kontra, mengira situasi
diri dan orang sekeliling. Bukan sekadar menggunakan mimpi.
Dan keputusan ini kadang-kadang akan merosakkan sebuah ikatan yang murni.
Sungguh, ini mendukacitakan.
-------------------------------------------------
Namun bagitu, saya juga berpendapat bahawa solat istikarah tidak ada kaitan yang langsung dengan mimpi. Sekiranya sudah beristikarah, buatlah pemilihan dan pertimbangan menggunakan akal.. Maka pilihan tersebut akan menjadi pilihan yang terbaik yang ditakdirkan oleh Allah..
Wallahua'lam
-Dipetik Dari Forum Sebagai Renungan Bersama-